28 October 2009

Mengulangi solat fardu

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Mengulangi sembahyang fardhu tanpa sebab yang syar'ie dilarang oleh syarak. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

لاَ تُصَلُّوا صَلاَةً فِى يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: Jangan kamu melakukan satu-satu solat dalam satu hari sebanyak dua kali.
Direkod oleh Abu Daud (no: 579), Nasaie (no: 860), Ibn Khuzaimah (no: 1641).

Dikecualikan seseorang yang telah bersembahyang fardhu terlebih dahulu, kemudian barulah didirikan solat secara jemaah, maka boleh bahkan dituntut supaya mengulangi balik sembahyangnya bersama jemaah. Sembahyang yang diulangi bersama jemaah ini dikira sebagai sunat.

Kerana dalam peristiwa Haji Wida', Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersembahyang Subuh di Masjid Khaif (di Mina), selepas selesai solat baginda melihat ada dua orang yang tidak menyertai solat jemaah. Setelah ditanya, mereka mengatakan telah bersembahyang di kediaman mereka. Lalu baginda bersabda:

فلا تفعلا إذا صليتما في رحالكما ثم أتيتما مسجد جماعة فصليا معهم فإنها لكما نافلة

Maksudnya: Jangan kamu lakukan demikian. Apabila kamu telah bersembahyang di kediaman kamu, kemudian kamu mendatangi masjid jemaah maka bersembahyanglah bersama mereka. Maka sesungguhnya ia menjadi sunat bagi kamu.
Direkod oleh Tirmizi (no: 219) dan katanya "Hadis Hasan Sahih", Nasaie (no: 858).

Jika mengulangi solat fardhu kerana alasan tidak puas hati, dan diulangi pula di rumah bukan secara jemaah, ia tidak dianjurkan syarak. Malahan dilarang.

Apa-apa solat fardhu yang kita tidak puas hati dari segi kesempurnaannya, boleh ditampung dengan melakukan solat-solat sunat. Kecuali jika diyakini berlaku kecacatan dari segi rukun atau syarat yang menyebabkan batal sembahyang, maka hendaklah diulangi balik sembahyangnya.


Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment