15 September 2009

Sunnah ketika ziarah kubur

Sunnah Mendoakan Ahli Kubur (Apabila Menziarahi Kubur):

عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْبَقِيعِ فَيَدْعُو لَهُمْ فَسَأَلَتْهُ عَائِشَةُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَدْعُوَ لَهُمْ

Maksud: Dari 'Aisyah (beliau berkata):Bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah pergi ke tanah perkuburan Baqi'. Kemudian, beliau mendoakan para penghuninya.'Aisyah bertanya kepada beliau berkenaan perkara tersebut, maka beliau menjawab:Sesungguhnya aku diperintahkan untuk mendoakan mereka.

(Hadis Riwayat Ahmad, Musnad ahmad, 52/110, no. 24952. Sanadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih sebagaimanya dinyatakan oleh Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana'iz, m/s. 189)

Doa Ketika Menziarahi Kubur:Dari sebuah hadis yang agak panjang:

كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟قَالَ: قُولِي:السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ

Maksud: ('Aisyah bertanya) Bagaimana harus aku katakan (doakan) kepada mereka (ahli kubur) wahai Rasulullah?Beliau menjawab, katakanlah:Semoga keselamatan dilimpahkan kepada kamu semua, wahai para penghuni kubur, dari kalangan orang Mukmin dan Muslim. Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang telah meninggal dunia terdahulu atau terkemudian. Sesungguhnya, insyaAllah kami akan menyusul bertemu kamu semua.

(Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Disunnahkan (atau dibolehkan) mengangkat tangan ketika mendoakan ahli kubur berdasarkan dari hadis yang sama:

فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ انْحَرَفَ فَانْحَرَفْتُ

Maksud: (Ketika di perkuburan Baqi') Beliau berdiri cukup lama dan kemudian mengangkat kedua tangannya tiga kali. Dan beliau pun kemudiannya terus pulang

(Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Ketika berdoa tidak boleh menghadap ke arah kubur, tetapi hendaklah menghadap ke arah kiblat. Ini adalah kerana terdapat larangan bersolat dengan menghadap ke arah kubur. Dan terdapat pula hadis yang sahih menjelaskan bahawa doa itu adalah ibadah.

(Untuk penjelasan lanjut, rujuk: al-Albani, Ahkamul Janai'z)

Disunnahkan Membuka Selipar/Kasut:

Adalah disunnahkan supaya membuka kasut/selipar ketika menziarahi kubur. Ini berdasarkan hadis berikut:

(بينما أماشي رسول الله (ص)...أتى على قبور المسلمين...فبينما هو يمشي إذ حانت منه نظرة، فإذا هو برجل يمشي بين القبور عليه نعلان، فقال: يا صاحب السبتيتين ألق سبتيتيك، فنظر، فلما عرف الرجل رسول الله (ص) خلع نعليه، فرمى بهما

Maksud: Ketika aku menemani Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, di ketika melalui perkuburan kaum Muslimin.Ketika Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam berjalan, tiba-tiba pandangannya tertumpu kepada satu arah. Ternyata beliau melihat seorang lelaki berjalan-jalan di antara kubur dengan mengenakan sepasang terompah, maka beliau pun bersabda:Wahai orang yang memakai dua terompah, celaka kamu, lepaskanlah kedua terompahmu itu.Maka orang tersebut pun memandang dan ketika orang itu mengetahui bahawa yang dipandang itu adalah Rasulullah, dia pun segera melepaskan kedua terompahnya lalu melemparkan keduanya.

(Hadis Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 4/80. Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 13/334, no. 3237. al-Hakim, al-Mustadrak, 3/407, no. 1328)

Berkenaan hadis ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata:

والحديث يدل على كراهة المشي بين القبور بالنعال

Maksud: Dan hadis ini menunjukkan dimakruhkannya berjalan di antara kubur dengan memakai sandal (kasut/selipar/terompah).

(Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 199, Maktabah Syamilah)

Manakala Syaikh al-Albani berkata:

والاقرب أن النهي من باب احترام الموتى، فهو كالنهي عن الجلوس على القبر

Maksud: Yang lebih dekat dengan kebenaran adalah bahawa larangan tersebut sebagai sebuah tindakan menghormati orang-orang yang telah meninggal dunia. Ia sama juga seperti larangan duduk-duduk di atas kuburan.

(Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 200, Maktabah Syamilah)

Menziarahi Kubur Di Waktu Malam:

Terdapat juga contoh dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bahawa beliau menziarahi kubur di waktu malam.Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang agak panjang, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam keluar menziarahi perkuburan Baqi' di waktu malam dan mendoakan untuk penghuninya.

(Rujuk: Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment